6 hari Di Bulan Syawal


Salam pengunjung Halaqah Borneo,

Alhamdulillah harini dah 2 hari ana berpuasa, tinggal 4 hari lagi utk cukupkan puasa 6 hari dibulan Syawal. Insya Allah kali ni ana nak kongsikan sedikit mengenai Puasa Enam...

Silakan Baca ye Semua.....

Puasa sunat enam hari di bulan Syawal

Dua jenis amalan menentukan peribadi seseorang Muslim iaitu amalan wajib dan amalan sunat. Wajib bermaksud sesuatu yang dituntut untuk melakukannya dan berdosa jika ditinggalkan seperti solat fardu, puasa pada Ramadan dan membayar zakat.

Sunat pula bermaksud sesuatu yang dianjurkan untuk melakukannya dan tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Antara contoh amalan sunat ialah solat, mengucapkan amin apabila membaca fatihah dalam solat dan banyak lagi.

Walaupun meninggalkan amalan sunat tidaklah menyebabkan berdosa, ia adalah amalan sangat disukai Allah.



Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau diqada?

Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW.


Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a, Sabda Rasulullah s.a.w :

من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال فكأنما صام الدهر .

(رواه أحمد

Maksudnya :

Barang sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan enam hari daripada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa.

Dan ada juga dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari.

Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10 bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.

Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.



Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya secara berturut-turut ataupun berselang seli.

Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan. Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba.

Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.

Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan.

Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.

Sumber daripada: Zahri Hamat; pensyarah Pusat Kajian pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM)




Selamat berpuasa Enam ye....

Sekian,
Akhi Azrin Al-Fateh
11 Syawal 1430H/30 September 2009

Leave a Reply

Salam semua.. Silakan memberi komen anda di HALAQAH BORNEO (HB).. Kami ucapkan Jazakumullah atas segala komen anda.. Moga ada manfaat bersama.. Sentiasa menuju Ridha illahi dalam setiap amal kita..