MERENUNG NILAI TAQWA PASCA RAMADHAN : LONJAKAN MENINGKATKAN AMAL


Salam Pengunjung Halaqah Borneo

Di Sini ana nak berkongsi sedikit bahan tazkirah utk manfaat bersama. Sebenarnya bahan ni sepatutnya ana taujih atau sampaikan kepada Halaqah ana, tetapi masa tu mood hilang kerana emosi terganggu.. Adalah masalah yang perlu ana perbaiki dan selesaikan agar Ais Batu tidak mencair dan Ais Batu akan terus membeku dan menyejukkan hati dan mata yang memandang... Ais Batu ni ana analogikan sebagai kefahaman dan nilai tarbiyah.... Afwanlah bagi yang tak faham ye..

APA YANG PENTING?

Ana nak kongsikan tentang tazkirah ni... Tazkirah ni pun ana dapat dalam internet juga, cuma ana rasa ia sangat bermanfaat. Jadi ana kongsikan...

MERENUNG NILAI TAQWA PASCA RAMADHAN : LONJAKAN MENINGKATKAN AMAL



Ramadhan yang telah berlalu meninggalkan kita membentuk kita menjadi hamba yang iltizam dengan ibadah fadhiyah seperti solat, puasa, tilawah, iktikaf, zakat dan sebagainya di mana bekalan-bekalan ini kearah meningkatkan nilai taqwa bagi seseorang Muslim untuk terus bekerja melaksanakan tuntutan Allah swt setelah berakhirnya bulan yang mulia ini. Namun hakikatnya apa yang kita saksikan pada hari ini, Ramadhan berlalu tanpa memberi kesan terhadap nilai taqwa kepada diri kita. Musim ketaatan dan ketaqwaan ini seolah-seolah pergi bersama musimnya yang menjenguk kita setahun sekali. Aidilfitri dihiasi dengan makanan yang enak, pakaian yang baru beserta wangi-wangian baru. Penyair arab menyebut :

Laisa al-’iidu man labisa al-jadid Walakin al-’iid man tho’atuhu taziid.
(Hari Raya bukanlah ditandai dengan pakaian baru, tetapi hakikat hari raya adalah siapa yang ketaatannya bertambah maju)


Sebagai Muslim yang faham dan sedar akan hubungan dengan Penciptanya serta menghayati pengertian dan tuntutan Ramadhan akan terus memelihara hubungan ini walaupun Madrasah Ramadhan telah pergi meninggalkan kita. Muslim ini akan meyakini bahawa 11 bulan yang berbaki masih mampu menyemai nilai taqwa dengan amal soleh serta akan terus berusaha menambahnilai amalan solehnya untuk manfaat dirinya dan juga manfaat semua. Marilah kita merenung beberapa nilai untuk kita refleksi diri dan merenung kembali nilai taqwa sebagai usaha untuk meneruskan pecutan amal soleh kita di 11 bulan yang berbaki :


1. Nilai Fastabiqul Khairat (Berlumba-lumba Mengerjakan Kebaikan

Allah swt berfirman :

“Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan. di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah :148)

“ Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa” (Ali Imran :133)


Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. dan Allah mempunyai kurnia yang besar.
(Al-Hadid :21)

Bersegera di dalam merebut dan mengejar kekayaan kebajikan dan amal soleh merupakan salah satu ciri orang yang beriman dan bertaqwa serta faham akan tuntutan Rab terhadap mereka. Jika kita merenung ke belakan, kita mendapati para Nabi Allah dan sahabat Nabi saw berebut-rebut untuk mengerjakan amal soleh pagi dan petang sedangkan mereka telah dijanjikan syurga oleh Allah swt. Lalu renunglah diri kita yang masih belum dijanjikan sebarang berita gembira di akhirat kelak. Maka untuk memperolehi berita gembira ini di akhirat kelak, marilah sama-sama kita terus melaksanakan segala tuntutan yang melayakkan kita untuk menjejakkan kaki di dalam syura Allah swt.

2. Nilai Mujahadah (Kesungguhan)

Bagi seseorang Muslim, melaksanakan amal soleh kepada Rab memerlukan pengorbanan kerana syurga Allah tidak dapat diperolehi dengan semudah-mudahnya. Ia memerlukan kita melalui kesusahan, kepayahan dan pengorbanan untuk merasai nikmat syurga di akhirat kelak. Pengorbanan ini yang disebutkan oleh Saidina Umar al-Khattab ketika menjawab pertanyaan berkaitan Taqwa di mana beliau menggambarkan Taqwa itu seolah-olah kita berusaha dan berhati-hati melalui jalan yang dipenuhi dengan duri.Kesungguhan ini datang dari niat yang ikhlas serta dibuktikan dengan amal yang serius dan bersungguh-sungguh. Allah Ta’ala memuji dan menjanjikan syurga kepada para pejuang amal shaleh yang dengan serius dan penuh kesungguhan membuktikan bahwa ketakwaan bukan hanya sekadar untaian kata-kata manis dan hiasan bibir tetapi perlu dibuktikan dan ditunjukkan. Allah berfirman :

“Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam, dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun, dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian (tidak meminta-minta).” (Adzdzaariyaat : 16-18)

Bagi individu Muslim yang sedar dan faham akan mendapati bahawa ibadah mereka tidak tertumpu kepada ibadah ritual yang bersifat hablumminallah (hubungan dengan Allah) semata-mata namun mereka turut melaksanakan tuntutan yang bersifat hablumminannas (hubungan kemanusiaan). Mereka menjaga kebajikan golongan yang memerlukan seperti golongan fakir miskin, anak yatim, wanita terbiar dan golongan warga emas.Sebagai balasan atas komitmen kesungguhan ini Allah akan membuka jalan kepada mereka seperti firman Allah swt :

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh di jalan Kami maka Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami”. (al-Ankabuut: 69)


3. Nilai Istimroriyah (Berterusan)

Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam pernah ditanya: “Apakah amalan yang paling dicintai Allah? Baginda menjawab: “Amalan yang dilaksanakan secara berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Bukhari).

Aisyah Ummul Mukminin menjelaskan bahwa Rasulullah adalah orang yang paling konsisten dalam melakukan amalan/ibadah (HR.Muslim). Menjaga nilai istimror merupakan sebahagian daripada tanggungjawab individu Muslim yang sedar dan faham di mana ia menjadi satu ruh yang menjiwai amalan tersebut samada berkualiti atau tidak. Dalam rangka menjaga kesinambungan amalan, Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam juga kadang mengganti (qodho) suatu amalan yang beliau tidak lakukan pada waktunya disebabkan halangan yang mendatang. Maka selepas Madrasah Ramadhan pergi meninggalkan kita, ibadah yang pernah dan mampu kita lakukan di bulan Ramadhan lalu hendaklah dikekalkan agar ibadah ini terus kekal sebagai ibadah walaupun sedikit serta tidak menjadi adat yang akan menghilangkan semangat kita di dalam menjaga hubungan dengan Allah swt.
Nilai Taqwa Ramadhan ini juga dapat diteruskan dengan pelaksanaan Puasa 6 hari di bulan Syawal di mana diriwayatkan daripada Nabi saw bahawa jika seseorang berpuasa Ramadhan lalu disusuli dengan puasa 6 hari Syawal maka pahalanya seolah-oleh berpuasa selama setahun. Penerusan proses berpuasa ini sebenarnya melatih individu agar tidak berhenti secara terus dan mengejut daripada puasa Ramadhan sebaliknya digalakkan secara berperingkat seperti puasa 6 hari di bulan Syawal atau puasa Isnin dan Khamis. Islam menggalakkan agar momentum istimroriyah di dalam bulan Ramadhan ini terus dikekalkan walaupun berakhirnya bulan Ramadhan al-Mubarak.


4. Prinsip Tawazun (Keseimbangan)

Syariat Allah adalah syariat yang dibangun di atas landasan at-taysir wa raf’ul masyaqqah (mudah dan tidak mempersulit). Ia diciptakan untuk manusia yang mempunyai keterbatasan dalam banyak hal. Allah tidak mensyariatkan satu bentuk perintah ataupun larangan kecuali semuanya dalam batasan kesanggupan dan kemampuan manusia itu sendiri. Allah taala berfirman :

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma'aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (al-Baqarah : 286).

Memaksimumkan amal soleh bagi individu Muslim tidak bererti kita harus bersikap ekstrim atau melampau di dalam melaksanakan ibadah yang disyariatkan. Ia bermaksud melaksanakan ibadah sesuai dengan kesanggupan dan kemampuan serta tidak memandang remeh dan memudah-mudahkannya.
Dalam kitab Shahih al-Bukhari diceritakan perihal tiga orang sahabat yang berkunjung ke rumah isteri-isteri Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam untuk mengetahui tentang ibadah-ibadah Rasulullah. Ketika disampaikan kepada mereka tentang hakikat ibadah Rasulullah, merekapun tiba pada kesimpulan bahwa apa yang dilakukan oleh Rasulullah masih sedikit. Dalam kisah tersebut, masing-masing dari ketiga sahabat itupun berjanji. Sahabat yang pertama berjanji untuk melaksanakan qiyamullail sepanjang malam dan tidak tidur. Sahabat kedua benjanji untuk berpuasa sepanjang tahun (setiap hari). Dan sahabat ketiga berjanji untuk tidak berkahwin. Mendengar hal tersebut, Rasulullah pun segera menegur mereka dengan mengatakan bahawa sunnah baginda adalah bersikap seimbang dalam ketiga perkara tadi.
Sikap tawazun dalam beramal dan menjauhi ghuluw (melampau) merupakan di antara yang terpenting dalam memaksimumkan amal soleh. Menjaga kesederhanaan, keseimbangan dan tetap menjaga hak-hak yang lain (hak keluarga, badan dan yang lainnya) inilah yang akan memberikan nafas yang panjang dalam pelaksanaan amalan itu sehingga tidak menyusahkan apatah lagi sampai tahap meninggalkan amalan itu secara total. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda :

“Bersikap sederhanalah, bersikap seimbanglah pasti kalian akan tiba ke kemunaknya”. (HR. Bukhari).

Kesimpulannya marilah sama-sama meningkatkan komitmen dan iltizam kita dengan mempertahankan nilai-nilai taqwa yang dipraktikkan di bulan Ramadhan lalu agar ucapan takbir, tahmid dan tahlil ke buat Rabbul Jalil merupakan ucapan kemenangan yang bermakna dan berkesan buat diri kita sepanjang menghadapi madrasah ujian yang lalu. Semoga Allah memperkukuhkan langkah kita di dunia ini hingga kita pergi mengadap Allah Rabbul `Izzati di akhirat kelak.



Sekian,
Akhi Azrin Al-Fateh
10 Syawal 1430H/29 Sept '09

2 Responses so far.

  1. bagus tazkirahnya, Ana juga doakan Ais antum tetap membeku dan menyejukkan..

    Antum tulis sendiri ke? atau ambil semuanya di internet?,

  2. Al-Fateh says:

    ana tulis sendiri dan campur juga daripada internet..
    combination. syukran abu ridho

Leave a Reply

Salam semua.. Silakan memberi komen anda di HALAQAH BORNEO (HB).. Kami ucapkan Jazakumullah atas segala komen anda.. Moga ada manfaat bersama.. Sentiasa menuju Ridha illahi dalam setiap amal kita..