Tentang Hijjab Al- Hawwa'



Salam Pembaca Halaqah Borneo (HB). Semoga anda semua sihat. Kali ini ana ingin berkongsi tentang Hijjab al-Hawwa ( Tudung Wanita)...

"Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah
menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki".

Jika kita dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Allah berfirman dalam surah An-Nurr, 24 ayat 31:
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".


Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang (bermula era tudung 2000) telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah IPTA/S dan hinggalah kepada pekerja pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Malah ada juga pereka fesyen ini terdiri daripada golongan lelaki, bah kan golongan lelaki lembutlah yang paling beria utk mereka tudung yang terkadang kurang sopan dan menampakan aurat.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. ada gaya tudung Wardina, ada gaya tudung fesyen wahida, ada fesyen tudung gaya Ikin Mawi dan ada juga gaya tudung ala Siti Nurhaliza. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, tidak menggunakan warna yang terlalu menyerlah (oren, peach, hijau pisang) dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.



Pelbagai Gaya Tudung ( Kurang ikut Syariat)


Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya. Kadang-kadang sanggup berhabis duit utk beli tudung pelbagai fesyen, hingga berhutang pun ada...

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya. dan yang paling sedih ada juga yang bertudung litup (Labuh) juga melakukan maksiat seperti bercouple, memegang tanggan lelaki.. Dan ini juga fitnah kepada Islam.. Sedih jika dilihat.. Mungkin saja kurang ditarbiyah atau tak ditarbiyah dengan baik..

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polan itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.



Gaya tudung standard dalam Islam
(Syariat)

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian. dan berbanggalah dengan tudung yang anda pakai juga boleh jadi sebagai ejen utk orang bukan islam tertarik utk memahami Islam. Yang penting tudung tu mengikut syariat islam. Wallahu alam...

diadaptasi dan ditambah perisa dari : website darulnuman

Sedikit VIDEO tentang wear your Hijjab al-Hawwa'



Dipost oleh:
Akh Azryn Al-Fatih
9 November 2009/ 21 Zulkaedah 1430HAlign Center

2 Responses so far.

  1. abu redha says:

    Afwan, mengenai video,

    ada dijelaskan bahawa Islam datang memperjelaskan yang penampilan luaran seorang wanita tidak penting, yang penting dalaman

    Hal ini salah, seorang akhwat muslimah mepunyai kewajipan untuk menjaga tubuhnya dan penampilannya, tentu saja bukan untuk mengundang fitnah kaum lelaki tetapi dalam rangka menjaga syukurnya kepada Allah.

    Seorang muslimah yang sudah berkahwin, berdandan diperuntukkan bagi dirinya sendiri dan suami tercinta

    Jika di luar rumah, berdandan/ berhias, berpenampilan secukupnya adalah perlu, tapi jangn sampai mengundang fitnah. Boleh saja diniatkan berdandan/ atau berhias untuk mensyukuri nikmat Alah dan supaya muslimah yang lain berasa senang.

    Ada beberapa hal yang dicadangkan kepada akhwat Muslimah

    1. Perhatikan berat badan ideal, jangn terlalu gemuk or terlalu kurus

    2. Perhatikan kesihatan kulit terutama wajah, kerana wajah adalah jendela tubuh

    3. Perhatikan bau badan, jangan sampai kelihatan ada yang tidak senang dengan bau badan

    4. Menambahkan hala hal lain seperti perawatan kecantikan, massage dll selagi tidak bersalahan dengan syariat..

    Cuma, yang penting jangan over dalam berhias..

  2. abu redha says:

    Mungkin ada sebahagian beranggapan bahawa menjaga penampilan dan kesihatan tubuh tidak penting, yang penting adalah tugas dakwahnya di kampus selesai

    Hal ini perlu diperbetulkan, perlu diperingatkan yang badan juga punya hak,

    Rasul bersabda

    ...Sesungguhnya matamu punya hak yang harus kau tunaikan, badanmu memiliki hak yang harus kau tunaikan, keluargamu memiliki hak yang harus kau tunaikan....( HR Muslim)

Leave a Reply

Salam semua.. Silakan memberi komen anda di HALAQAH BORNEO (HB).. Kami ucapkan Jazakumullah atas segala komen anda.. Moga ada manfaat bersama.. Sentiasa menuju Ridha illahi dalam setiap amal kita..