Isu Palestin dan KITA

Hamas di Palestin dan Ikhwah di sana baru sahaja mengisytiharkan intifadhah buat kali ketiganya. Dan hal ini bertitik tolak dari tindakan kejam pihak zionis Israel yang melakukan pembunuhan secara besar-besaran ke atas rakyat Palestin. Sehingga kini, angka kematian sudah mencecah lebih dari 360 orang dan termasuk di dalam perangkaan tersebut, ikhwah-ikhwah dari briged al-Qassam (sayap ketenteraan Palestin).

Kekejaman yang berlaku dan musibah yang menimpa umat Islam secara amnya dan rakyat Palestin khususnya, telah menyebabkan ramai pihak dari seluruh dunia bangkit dan menyuarakan pandangan dan bantahan mereka terhadap kekejaman pihak zionis. Bukan sahaja dari kalangan orang-orang yang beragama Islam, tetapi juga termasuk dari kalangan bukan Islam. Kerana ini adalah satu perkara asas di dalam fitrah manusia untuk menentang apa jua kezaliman yang terang dan jelas lagi nyata.

Banyak pihak yang membuat demonstrasi dan mengutuk tindakan kejam ini. Memang banyak. Dan ramai juga yang membuat keputusan untuk menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk yang mereka mampu. Misalnya, pihak MERCY Malaysia, PACE, dan Aman Palestin dan lain-lain. Ada yang menyamapaikan berita yang terkini, ada yang ingin memberi bantuan perubatan dan ada yang membuat roadshow tentang isu ini.

Tetapi, persoalannya...
Adakah kita selama-lamanya boleh biarkan isu ini menjadi berterusan?
Adakah cukup sekadar orang ramai sedar tentang isu ini tetapi tidak bertindak?
Apa sebenarnya yang kita mahu?
Apa peranan yang kita boleh mainkan?

Kita tidak boleh lagi membiarkan isu ini berterusan, pada masa-masa yang akan datang. Kesemua ini terjadi kerana kita (ummah ini), ditimpa penyakit kelemahan. Ramai dari kalangan ahlinya yang cintakan dunia dan bencikan kematian. Kita harus menyedarkan masyarakat kita, di mana sahaja kita berada agar mereka celik tentang hakikat sebenar mengapa hal-hal seperti di Palestin menimpa. Tanpa kesedaran tentang betepa pentingnya kita berpegang kepada Deen yang mulia ini, kita pasti selama-lamanya akan ditindas oleh pihak musuh.

Orang yang tidak sedar umpama orang yang tidur di dalam rumah yang terbakar. Jika penyelamat yang faham datang kepadanya dan mengajak untuk menyelematkan diri, sudah tentu kata-kata tersebut akan jatuh pada telinga yang tidak mendengar. Jadi perkara pertama yang harus dilakukan ialah mengejutkan orang yang tidur tersebut agar dia sedar keadaan kelilingnya yang sedang terbakar dijilat api.

Kemudian setelah itu, kita merasakan adalah tidak cukup sekadar menyedarkan masyarakat kita tetapi kita harus berusaha agar mereka memahami pokok kepada isu yang timbul. Tanpa kefahaman yang sebenar tentang isu yang melanda, ramai yang mungkin berubah dari keadaan ingin membantu kepada tidak mahu membantu, lantaran terpedaya dengan tipu daya dan propaganda media dan pihak barat. Kefahaman ini jugalah yang akan membuatkan seseorang itu terus menerus mempunyai perasaan dan kesedaran untuk membantu di dalam isu Palestin ini.

Lalu setelah itu, kita mengimani bahawa kefahaman tanpa amal adalah sesuatu yang sia-sia. Hadith Baginda: "Bukanlah iman itu dengan berangan-angan, bukan juga dengan perhiasan tetapi ia adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan 'amal". Jadi mereka yang faham ini, di ajak untuk bekerja bersama-sama dengan wadah-wadah yang menolong di dalam isu Palestin. Tetapi, tahap kefahaman tentang isu tidak menjadi penghalang untuk mereka yang ingin membantu di dalam isu ini. Sesiapa yang mahu membantu, maka bantulah. Bantulah mengikut kekuatan dan kemampuanmu.

Kita ingin menyebarkan seluas mungkin kefahaman tetang isu Palestin ini, bahkan isu deen Islam itu sendiri. Tetapi orang yang ada tidak begitu ramai. Maka kita hendaklah berusaha membentuk mereka yang lain supaya faham sama dengan kita dalam isu ini, agar mereka juga dapat bekerja dengan kerja yang sama dengan kita. Kita juga pada akhirnya bukan sekadar ingin agar semua masyarakat Islam sedar tentang ummah mereka yang sedang tenat, tetapi kita ingin agar kita menjadi al-Ustaziyatul 'Alam (world order) kepada seluruh penduduk dunia.

Agar kebatilan terhapus dan kebenaran menyinar. Dan agar tidak ada lagi yang dapat menindas golongan yang lemah.
"Dan katakanlah: Telah datang kebenaran, dan telah hancur kebatilan. Sesungguhnya kebatilan (secara fitrahnya) pasti akan hancur"
(al-Isra', 17:81)
--
Pihak yang membantu di dalam isu Palestin (yang saya tahu):
  1. PACE (Palestin Centre of Excellence)
  2. Aman Palestin
  3. Mercy Malaysia

Sumber dipetik dari akhi Mashizaki Keikan


One Response so far.

  1. Assalamu'alaykum, akhi.

    Ada beberapa pindaan yang ana dah buat kat artikel ni.
    Mungkin boleh refer balik kot sumber asal.

    WaLlahu a'lam.

Leave a Reply

Salam semua.. Silakan memberi komen anda di HALAQAH BORNEO (HB).. Kami ucapkan Jazakumullah atas segala komen anda.. Moga ada manfaat bersama.. Sentiasa menuju Ridha illahi dalam setiap amal kita..